Apabila takdir kata Kun Faya Kun, maka jadilah kita seorang hamba yang dijangkiti Covid-19

0
100
Sheikh Abdul Karim mengalami batuk luar biasa, sesak nafas dan tiada selera makan

CYBERJAYA-  Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Fatani Al-Makki berkongsi detik cemas dan menginsafkan selepas dirinya disahkan positif Covid-19.

Antara hidup dan mati, itu merupakan gambaran yang nyatakan oleh Sheikh Abdul Karim sepanjang berdepan keperitan ketika dirawat sebagai salah seorang pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh.

“Saya sendiri dah lalui kuarantin, antara hidup dan mati. Saya sudah nampak alam lain pula yang akan datang depan saya, tetapi dengan izin Allah dan berkat doa serta Al-Quran, saya kembali pulih semula.

“Saya mengalami batuk luar biasa, sesak nafas dan tiada selera makan meskipun bukan seorang perokok dan tiada penyakit asma seumur hidup,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Menurut Sheikh Abdul Karim,  beliau amat bersyukur apabila keadaan kesihatannya bertambah baik dan dibenarkan pulang ke rumah dalam masa beberapa hari.

“Dengan izin Allah dan bantuan pihak doktor dalam memberi alat bantuan pernafasan, dan sebagainya, alhamdulillah saya kembali pulih semula.

“Saya minta kepada Allah SWT… ‘Ya Allah, saya nak solat Ya Allah, solat yang terakhir Ya Allah, biarlah aku ni kuat ya Allah untuk ke tandas, untuk berwuduk untuk solat terakhir Ya Allah’.

“Kerana saya tidak boleh tahan sangat dah, dengan menggigil dengan sejuk, dengan doktor pun kelam kabut semua kelam-kabut, untuk bantu saya dan rakan rakan lain.

“Tempat kecemasan jadi orang ramai, jadi tidak sempat melayan kita dengan sepenuhnya, itu sahaja yang dilayan pun, cukup rahmat dan membantu saya kembali hidup semula,” tambah Abdul Karim.

Beliau yang juga imam masjid negeri Selangor menitipkan pesanan bahawa janganlah memandang sambil lewa tentang besarnya ujian Covid-19.

“Jangan kita sambil lewa sama sekali dengan COVID-19. Wabak ini dia tidak kenal tok imam, menteri sesiapa pun, bila dah takdir kata Kun Faya Kun, maka jadilah kita seorang hamba yang dijangkiti Covid-19.

“Jika tidak perlu keluar rumah, janganlah keluar, jangan rasa diri kita ini kebal. Sedangkan tok imam pun kena, menteri pun kena siapa pun kena, jadi sama-samalah kita jaga normal baharu ini mudah mudahan Allah SWT dan gugur dosa dosa kita InsyaAllah,” pesan beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here