Aspek undang-undang syariah yang ketinggalan punca ‘maknyah’ tak takut

0
67
Ahmad Marzuk Shaary

CYBERJAYA – Aspek undang-undang syariah di Malaysia yang agak ketinggalan terutamanya melibatkan golongan maknyah atau yang berpakaian bertentangan jantina menyebabkan gejala tidak sihat itu sukar dibendung.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, berdasarkan undang-undang di Wilayah Persekutuan penguatkuasa agama tidak boleh mengambil tindakan semata-mata kerana dia seorang ‘mak nyah’.

Katanya, pihak pendakwa perlu membuktikan bahawa individu itu menjadi ‘mak nyah’ di tempat awam dan dengan tujuan tidak bermoral.

“Aspek undang-undang syariah kita agak ketinggalan dalam hal ini kerana jika perlakuan itu dimuat naik ke media sosial, ia tidak dikira sebagai tempat awam.

“Inilah sebab kita mahu pinda semua undang-undang syariah yang ada kaitan dan kita akan usahakan secara berperingkat.

“Kita mahu undang-undang syariah juga selari dengan perkembangan arus teknologi dan keadaan semasa,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Berikutan itu, Ahmad Marzuk berkata, beliau akan pastikan isu pertukaran jantina perlu dijadikan kesalahan khusus dalam undang-undang jenayah syariah.

Pada masa sama, katanya, kandungan media sosial yang berkaitan dengan semua perlakuan bertentangan dengan jantina iaitu yang tidak senonoh, lucah dan jelik juga perlu dijadikan salah satu jenis kesalahan syariah yang dilakukan secara dalam talian.

Sementara itu, katanya, pihaknya juga telah pun menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menangani isu lesbian, gay, bisexsual dan transgender (LGBT) yang beragama Islam.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh lebih 20 organisasi yang berkepentingan dan sudah memulakan mesyuarat pertamanya pada Disember lepas.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here