Bayaran fasa akhir BPN2.0 dibuat mulai Khamis ini

0
77
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Perutusan Khas hari ini

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mempercepatkan proses bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) kepada 11.1 juta penerima dengan  bayaran sebanyak RM2.38 bilion.

Perdana Menteri berkata, bayaran itu akan dibuat bermula Khamis ini. 

“Bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada lapan juta penerima. 

‘Golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300 dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan pula, mereka akan menerima 150 ringgit,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100  bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Selain itu, bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi inisiatif sosial. 

“Ini termasuklah pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas, gelandangan, orang kurang upaya dan mangsa banjir,’ katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan menyediakan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai ataupun barangan serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut. 

Katanya, penyumbang tersebut layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here