Bayaran pembaharuan LKM, CDL dikecualikan sehingga 31 Mac ini

0
77
Datuk Seri Wee Ka Siong

CYBERJAYA – Kementerian Pengangkutan memberikan pengecualian kepada semua pemilik kenderaan persendirian bagi tujuan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) berkuat kuasa 1 Februari hingga 31 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, namun begitu para pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan mereka memiliki pelindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil pelindungan mereka kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta.

“Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV).

Katanya, ini kerana perkhidmatan pembaharuan tersebut dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021. 

“Pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter dan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh PKP,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here