Bekalan darah di HRPZ II hanya mampu bertahan tiga hari sahaja lagi

0
57
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Bekalan darah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kini kritikal kerana hanya mempunyai bekalan yang mampu bertahan hingga tempoh tiga hari sahaja.

Menurut Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali, keadaan semasa seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) menyebabkan pelaksanaan program derma darah secara meluas tidak dapat diadakan.

“Susulan itu, kutipan darah kini hanya tertumpu kepada mereka yang datang ke hospital sekali gus menyebabkan bekalan darah kita sangat kritikal.

“Saya merayu kepada rakyat Kelantan untuk datang ke hospital bagi menderma darah kerana pihak kami tidak boleh mengadakan program yang besar di luar ketika ini,” kata Dr. Selasawati kepada Bernama, hari ini.

Beliau menambah, pihak hospital memerlukan secara purata sebanyak 80 hingga 100 beg darah setiap hari bagi memenuhi keperluan sebanyak 12 hospital iaitu sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga hospital swasta di seluruh Kelantan.

“Masih ramai pesakit memerlukan bekalan darah seperti pesakit talasemia, pesakit yang perlu menjalani pembedahan kecemasan, pesakit trauma dan ibu-ibu mengandung yang ketumpahan darah, menyebabkan pihak hospital perlu sentiasa bersedia dengan semua bekalan jenis darah iaitu jenis O, AB, A, dan sebagainya.

Namun, kita juga berharap dengan pelaksanaan PKP ini, ia dapat mengurangkan kes trauma ataupun kemalangan yang berlaku, sekali gus dapat menurunkan permintaan keperluan darah,” kata beliau lagi.

Orang ramai yang ingin menderma boleh mengunjungi pusat transfusi darah HRPZ II setiap Ahad hingga Khamis dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, penderma dari zon merah dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan untuk menderma dan mereka juga perlu mengisytiharkan sama ada mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 atau tidak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here