
CYBERJAYA – Kerajaan meminta penerima yang masih belum menerima bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) untuk bersabar memandangkan jumlah yang disalurkan sangat besar iaitu mencecah RM2.38 bilion.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata pembayaran fasa kedua bantuan itu bermula pada 21 Januari lalu dan dijangka diterima oleh semua penerima dalam tempoh seminggu.
“Saya ingin memohon agar penerima bersabar, kerana ini adalah satu jumlah yang besar, dan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima.
“Saya juga ingin berkongsi bahawa dari 21 hingga 24 Januari lalu, sebanyak 6.4 juta akaun telah dikreditkan manakala dari 25 hingga 29 Januari lalu, 3.8 juta akaun sedang atau akan dikreditkan,” katanya dalam sidang akhbar Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, bermula kelmarin sebanyak 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Semenanjung bagi penerima B40 dan M40.
Katanya, kerajaan berharap dengan bantuan yang dipercepatkan itu dapat membantu aliran tunai 11.06 juta penerima bujang dan isi rumah di saat Perintah Kawalan Pergerakan ini.-MT