Brainy Bunch sediakan kurikulum baharu, penerapan kualiti sahabat Rasulullah

0
211
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim


RAUDHAH CITY – Bermula sesi baharu pada tahun ini, pusat perkembangan awal kanak-kanak, Brainy Bunch akan menerapkan kualiti para sahabat dalam kurikulumnya. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim, ini selari dengan kewujudan pusat perkembangan awal kanak-kanak itu yang sentiasa memfokus kepada ajaran Islam.

“Sekiranya seseorang itu menjadikan ia amalan hidup, ia bakal memberi jalan yang mudah kepada seseorang itu menghidupkan ad-din melalui enam sifat iaitu yang pertama kalimah Lailahailallah yang bermaksud tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah. 

“Allah boleh berbuat sesuatu tanpa bantuan makhluknya, dan makhluknya tidak dapat berbuat sesuatu tanpa bantuan Allah. Satu-satunya cara hendak berjaya di dunia dan akhirat ialah dengan mengikut jalan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW. 

“Kedua solat dengan khusyuk dan khudu’ yang mana solat lima waktu penting untuk peningkatan kerohanian, ketakwaan dan kehidupan yang bebas daripada penyakit kebendaan. Ia membina perhubungan dengan Allah dan untuk memperoleh pahala yang melimpah ruah,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini. 

Mengulas lanjut, katanya, turut dimasukkan ialah ilmu dan zikir, ikram sesama Muslimin dan ikhlas-I-Niyyat yang bermaksud bertaubat ketika berdoa kepada Allah dengan melakukan setiap kebaikan kerana Allah untuk tujuan membersihkan diri.

“Selain itu, turut diterapkan ialah elemen dakwah dan tabligh dengan memperuntukan masa untuk hidup berlandaskan iman, mengikut jejak langkah Nabi Muhammad SAW dan menyampaikan dakwah dari rumah ke rumah atas iman. 

“Oleh kerana Nabi Muhammad SAW adalah Rasul yang terakhir, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memikul tugas para nabi, iaitu mengajak manusia mentaati Allah dan mencontohi Nabi Muhammad.
“Ini adalah kurikulum Islamik semasa yang menjadi keutamaan kami, yang sentiasa memfokus kepada ajaran Islam,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berkata, bermula tahun ini juga kesemua kampus Brainy Bunch tidak lagi berdaftar sebagai tadika sebaliknya didaftarkan sebagai pusat asuhan kanak-kanak (Taska)dan pusat jagaan di bawah penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bentuk tawaran pendidikan montessori menumpukan kepada permainan dan pelajaran berlandaskan aktiviti melayakkan kami beroperasi di bawah JKM iaitu Taska untuk yang di bawah usia empat tahun dan pusat jagaan untuk kanak-kanak empat hingga 12 tahun. 

“Kami juga akan memulakan program transit bahasa Inggeris di kampus-kampus kami. 

“Tidak lama lagi, kami akan menawarkan Taska atau pusat penjagaan harian untuk bayi berumur enam hingga 18 bulan di bawah program harian lanak-kanak montessori,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here