Covid-19: 278 siasatan dibuka terhadap penyebar berita palsu

0
48
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 278 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia berhubung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 sehingga 18 Januari lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu yang menimbulkan kegusaran masyarakat.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 141 kes masih dalam siasatan manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah dengan 12 kes diberi notis amaran.

“Bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 individu didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Sehubungan itu pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan berkaitan wabak Covid-19 hari ini.

Sehubungan itu Ismail mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebar sebarang kandungan yang diragui kesahihannya atau menyemak sesuatu berita di talian 03-89115103 atau layari www.sebenarnya.my.

Sementara itu, beliau memberitahu jumlah individu yang sedang menjalani kuarantin wajib selepas tiba dari luar negara pada masa kini adalah 8,320 orang.

Secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020 sehingga 18 Januari lalu, seramai 107,194 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,320 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 80 Hotel dan 15 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Seramai 540 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 98,334 individu dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here