Covid-19: Angka kematian tertinggi baharu dicatat hari ini

0
77

CYBERJAYA – Negara mencatat angka kematian Covid-19 tertinggi baharu apabila sebanyak 18 kematian dilaporkan di seluruh negara, hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), mangsa paling muda dilaporkan meninggal dunia adalah seorang lelaki berusia 32 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 9 kes dari Selangor, 3 kes dari Sabah, 2 kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2 kes dari Sarawak dan masing-masing 1 kes dari Johor dan Pulau Pinang.

“Kes kematian pada hari ini melibatkan 17 kes warganegara dan 1 kes bukan warganegara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu paparan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.

Pertambahan ini menjadikan angka keseluruhan kes kematian akibat pandemik ini adalah sebanyak 660 kes.

Hari ini, sebanyak 3,631 kes baharu dilaporkan di seluruh negara, melibatkan 3,625 kes penularan tempatan dan 6 kes import.

Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 782 kes, diikuti Johor dengan 466 kes, dan Sabah dengan 453 kes.

Angka baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di dalam negara keapda 176,180 kes.

Sementara itu, sebanyak 2,554 kes lagi telah diisytiharkan sebagai telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh kepada 132,706 kes.

Setakat ini, masih terdapat sebanyak 42,814 kes yang diklasifikasikan sebagai masih aktif di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 251 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here