Covid-19: Gerakkan kakitangan kerajaan bukan daripada KKM untuk turut bantu

0
374
Sejak akhir-akhir ini ramai yang merungut berikutan kesukaran untuk menghubungi pihak KKM walaupun sudah beberapa hari disahkan positif Covid-19 akibat kekangan petuagas

CYBERJAYA – Kerajaan digesa menggerakkan kakitangan kerajaan yang bukan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu kekurangan tenaga kerja petugas kesihatan terutamanya dalam pengurusan bukan melibatkan bidang perubatan.

Menurut seorang doktor perubatan, Dr Akmal Saleh, mereka boleh membantu seperti mengesan kontak rapat,mengaturkan perjalanan pesakit dari rumah ke pusat kuarantin, menjaga pusat panggilan dan lain-lain.

“Kita mempunyai kakitangan kerajaan hampir 1.6 juta, dan ada di antara mereka yang bebanan kerjanya kurang di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan ada juga di antara mereka yang pejabatnya juga ditutup.

“Maka inilah masanya mereka ini digerakkan untuk membantu staf KKM,” katanya hari ini.

Selain itu Dr Akmal berkata, penglibatan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu digerakkan.

Katanya, ramai di antara mereka yang ingin membantu, tetapi bantuan itu dilihat tidak diselaraskan dengan sempurna.

“Sepatutnya pihak kerajaan dah mengenal pasti mana-mana pihak NGO yang ingin membantu dan mengenal pasti skop kerja mana yang boleh dibantu oleh mereka.

“Seperti contoh, jika ada pihak yang ingin memberi bantuan makanan, maka ia perlulah dihadkan kepada beberapa jumlah, selebihnya harus membantu dari segi bidang lain, seperti pembuatan PPE, sanitasi dan sebagainya,” ujarnya.

Dr Akmal Saleh

Dalam pada itu, katanya, masalah kekurangan katil yang sedang dihadapi pesakit Covid-19 juga boleh diatasi dengan mewujudkan satu daerah satu pusat kuarantin.

“Saya percaya setiap daerah mempunyai dewan serbaguna yang besar dan boleh digunakan sebagai pusat kuarantin, maka mana-mana individu di dalam daerah tersebut yang positif tetapi mempunyai risiko yang rendah boleh ditempatkan di dewan ini dengan bantuan sukarelawan dan pihak KKM.

“Jika tidak mencukupi, maka pusat latihan khidmat negara (PLKN) ataupun hotel-hotel boleh diguna pakai sebagai pusat kuarantin untuk risiko rendah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga boleh melakukan proses saringan secara menyeluruh dengan bantuan hosital atau klinik swasta.

Katanya, ini boleh dilaksanakan secara percuma dengan syarat pihak kerajaan boleh menyediakan kit saringan kepada mereka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here