[VIDEO] Daripada spa kampung, Norazni kini bina legasi hasil bantuan Risda

0
378
Norazni kini boleh berbangga dengan kejayaan Nur Alwani Beuty & Spa

SIAPA sangka, hanya bermula dengan menyediakan perkhidmatan mengurut dari rumah ke rumah, seorang usahawan wanita dari Gemas, Negeri Sembilan, Norazni Md. Tolah kini berjaya membina legasi perniagaan yang tersendiri.

Segalanya bermula kira-kira lapan tahun lalu, ketika dia menawarkan perkhidmatan mengurut dengan berjalan kaki dari rumah ke rumah pelanggan yang memerlukan rawatan.

Daripada spa kampung, Norazni kini bina legasi hasil bantuan Risda

“Sebelum ini saya pernah kerja kilang selama 12 tahun di Seremban. Saya ambil keputusan untuk balik ke kampung untuk menjaga mertua yang tinggal berseorangan.

“Semasa bekerja kilang, saya sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Saya jual macam-macam seperti telur itik, sayur-sayuaran kampung dan banyak lagi.

Antara kejayaan yang dikecapi oleh Norazni sepanjang bergelar usahawan

“Selepas pulang ke kampung di Jempol, saya bekerja di pusat servis Proton selama lima tahun. Gaji pertama di Proton saya beli mesin jahit, rancangannya mahu menjahit, namun, perancangan itu gagal kerana saya sememangnya tidak tahu menjahit, katanya.

Bercerita lanjut, Norazni berkata, dia terlibat dalam perkhidmatan mengurut selepas berhubung dengan rakannya yang mahir dalam bidang itu menerusi laman sosial Facebook.

Bertitik tolak daripada situ, Norazni berkata, dia mula menyertai kelas urutan dan menawarkan perkhidmatan urutan kepada pelanggan.

Katanya, pada peringkat awal, perkhidmatan yang ditawarkan hanya dari rumah ke rumah sehinggalah seorang pelanggan bertanyakan kepadanya sama ada mempunyai kedai mengurut.

Pelbagai pakej disediakan di Nur Alwani Beauty & Spa

“Untuk tidak berasa malu dengan pelanggan tersebut saya hanya mengiyakan yang kami ada kedai walaupun dalam hati rasa sangat ‘serba salah’ dengan jawapan spontan itu. Balik sahaja ke rumah, saya ceritakan pada suami yang pelanggan berkenaan mahu datang ke kedai untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Jawapan daripada suami saya sangat melegakan, dia kata tidak mengapa dan dia sendiri akan membuatkan impian saya itu menjadi kenyataan. Ketika itu, kami pinjam satu bilik di rumah emak dan jadikannya seperti sebuah spa,” ujarnya.

Dengan berbekalkan sedikit modal, katanya, dia dan suaminya pergi ke kedai barangan terpakai untuk membeli katil dengan harga hanya RM150 manakala set meja dihasilkan sendiri dengan menggunakan kayu sedia ada di rumah.

Tidak lepas tangan…Norazni sendiri turut turun padang menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan

Norazni berkata, selepas itu rezekinya dalam bidang mengurut terus bertambah sehinggalah mendapat peluang menjadi usahawan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda).

Katanya, pada peringkat awal dia ditawarkan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) bernilai RM10,000 untuk mengembangkan lagi perniagaannya

Dengan modal itu, Norazani berkata, dia memperbesarkan lagi perniagaannya dengan berpindah ke sebuah kedai baharu yang diberi nama Nur Alwani Spa pada 2015 dan menambah peralatan seperti katil, alatan sauna serta tab mandi.

Pakej mandi bunga turut disediakan di Nor Alwani Beauty & Spa

Setahun selepas itu, rezeki perniagaannya semakin bertambah apabila Risda memberikan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk menyertai program Bidan4U iaitu dengan menyediakan latihan bagi mempelajari teknik untuk menguruskan ibu bersalin dan bayi.

“Dua tahun kemudian, Alhamdulillah saya sekali lagi menerima bantuan AET berupa barangan daripada Risda bernilai RM10,000.

“Selepas itu, sekali lagi saya menerima geran bantuan bernilai RM50,000 daripada Risda untuk mengembangkan perniagaan sebaik sahaja saya berpindah ke premis baharu di Bahau.

RM50,000 antara bantuan terbesar pernah diterima Norazni daripada Risda

“Sebenarnya untuk dapatkan geran RM50,000 saya perlu bersaing dengan 22 usahawan lain dalam program Groombig dan Alhamdulillah saya menang dan menjadi satu-satunya usahawan Risda Negeri Sembilan ke peringkat akhir,” katanya.

Selain itu katanya, pada tahun itu juga, dia turut menerima bantuan Risda sebanyak RM5,000 untuk menjalankan aktiviti ekonomi sampingan dengan menjual produk makanan jenama, Serunding Halia dan produk penjagaan diri untuk wanita, Jamu Dagho.

Norazni yang merupakan ibu kepada tiga orang anak itu berkata, jika dihitung secara keseluruhan, dia telah menerima bantuan daripada Risda bernilai lebih RM100,000.

“Insya-Allah, tahun ini saya dalam proses untuk mendapatkan peruntukan RM50,000 untuk program Rissmobile atau Spa Truck.

Tempat yang cantik dan menarik menjamin keselesaan pelanggan di Nur Alwani Beauty & Spa

“Risda adalah merupakan tulang belakang saya untuk berjaya. Terima kasih, terutamanya pegawai-pegawai dan kakitangan Risda di Jempol, yang telah banyak memberi sokongan kepada saya.

“Dengan bantuan Risda, Alhamdulillah sekarang saya sudah mempunyai tiga orang pekerja dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM25,000 sebulan. Dahulu modal saya dalam bidang ini hanya RM200 hingga RM300 sahaja,” katanya.-RisdaInspirasi

Bantuan Risda untuk Norazni Md. Tolah:
2014 – Bantuan AET RM10,000
2016 – Program Bidan4u RM5,000
2017 – AET RM10,000
2018 – Program Groombig RM50,000
2019 – Pelabelan RM5,000 ( serunding halia dan jamu dagho)
2020 – Rissmobile (Spa Truck) RM50,000 *dalam proses

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here