Darurat bukan rampasan kuasa, pilihanraya digantung

0
72
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Pengisytiharan darurat yang diumumkan kerajaan hari ini bukan satu rampasan  kuasa atau perintah berkurung sebaliknya pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri masih berfungsi seperti biasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proklamasi darurat itu diumumkan selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas diperdengarkan cadangan daripada Kabinet, semalam.

“Saya beri jaminan jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini.

“Sepanjang tempoh ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa  ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu buat baginda mengambil tindakan serta-merta, maka baginda boleh memasyhurkan apa-apa Ordinan Darurat mengikut keadaan semasa,’’ katanya dalam perutusan khas darurat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, sepanjang tempoh darurat (sehingga Ogos tahun ini) tiada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil akan diadakan dengan sidang Parlimen dan sidang Undangan Negeri juga ditangguhkan.

Sementara itu tambah beliau, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan untuk berbincang dan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas enam negeri selama 14 hari bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari, manakala enam negeri lagi dikenakan PKP Bersyarat dan dua negeri PKP Pemulihan.

Dalam perutusan itu juga, Perdana Menteri berkata pelaksanaan Ordinan Darurat perlu untuk kekang penularan Covid-19 daripada menjadi serius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here