Darurat: UMNO Junjung Kasih Titah Agong

0
124
UMNO Junjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong

CYBERJAYA – UMNO berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang tetap dipelihara sepanjang darurat berlangsung.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga harus memberi jaminan untuk mengambil berat kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup.

Terutamanya kata Ahmad Zahid ialah mengenai tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat, lanjutan moratorium dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.

“UMNO menjunjung titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan pengisytiharan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebagaimana nasihat Perdana Menteri.

“Memandangkan rasional yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dalam memohon pengisytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19, maka segala kuasa dibawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.

“Sepanjang darurat berlangsung, UMNO berharap prinsip hak asasi manusia, kebebasan sivil, ketelusan dan kedaulatan undang-undang harus tetap dipelihara. 

“Kerajaan juga harus memberi jaminan untuk mengambil berat kepentingan rakyat dan mengotakan janji bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup rakyat terutamanya mengenai tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat, lanjutan moratorium dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, usaha harus dilakukan untuk segera mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan Demokrasi Berparlimen sejurus darurat yang diproklamasikan mencapai matlamatnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here