DBKL selamatkan 140 gelandangan

0
119
Operasi menyelamatkan gelandangan di sekitar ibu kota oleh DBKL malam tadi

CYBERJAYA- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelamatkan 140 gelandangan di sekitar ibu kota malam tadi.

Gelandangan yang diselamatkan kini ditempatkan di dua Pusat Sementara Gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata,  mereka dijangka ditempatkan di pusat itu hingga penghujung Februari ini.

“Gelandangan ini akan dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) pada awal Mac dan dibantu mendapatkan pekerjaan.

“Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. 

“Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi menyelamatkan gelandangan pada malam tadi membabitkan sebanyak 95 orang anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi.

Mengulas lanjut, Mahadi memaklumkan DBKL sedang mencari penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu gelandangan itu termasuk dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.

“Satu program yang lebih tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

“Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here