Ebit Lew hadiahkan motosikal, taja persekolahan adik beradik yatim

0
117

KUALA LUMPUR – Keperitan hidup dua adik-beradik yatim yang tular dalam sosial media semalam mendapat pembelaan ikon masyarakat, Ustaz Ebit Lew yang menghadiahkan sebuah motosikal untuk kegunaan harian.

Selain sumbangan sebuah motosikal Modenas, Ebit Lew juga menawarkan ‘tajaan’ untuk kedua-dua mereka kembali semula meneruskan persekolahan selepas lama tidak bersekolah.

Ebit Lew dalam hantaran di Facebooknya malam tadi berkata, sumbangan motosikal bersama kos penyelenggaraan percuma selama setahun itu adalah untuk meringankan beban dua beradik berkenaan.

Katanya, beliau menjejaki kedua anak yatim berusia 16 dan 17 tahun itu selepas terharu mendengar nasib yang menimpa mereka.

“Sayu sangat rasa hati terbaca 2 beradik yang tinggal dengan mak semenjak kecil. Maknya meninggal dunia 21 Januari lalu dan hilang motor.

“Mak tiada sebelah kaki dan sakit buah pinggang dan sentiasa dialisis. Ada seorang kakak dibesarkan oleh nenek dan makcik.

“Mereka berdua dengan mak. Sekarang tinggal berdua jer. Seorang 17 tahun. Seorang 16 tahun. Dah lama juga tak ke sekolah,” katanya.

Ustaz Ebit Lew bersama pasangan adik beradik yatim yang dihadiahkan sebuah motosikal di Kuala Lumpur semalam.

Ebit Lew berkata, dalam pertemuan itu beliau bersetuju untuk membiayai kos persekolah dua beradik berkenaan.

“Saya kata adik berdua belajar sampai berjaya yer. Nanti saya bayarkan yuran dan lain-lain.

“Saya hadiahkan motor baru Modenas. Dapat diskaun. Tauke kedai THM Motorcyles Trading Desa Pandan.

“Setahun adik ni service dan ganti barang dapat free di kedainya selepas ini. Dia kasihan pada adik tadi. Dia kenal saya,” katanya.

Ebit Lew turut memberi sumbangan wang tunai untuk perbelanjaan dan mendoakan mereka sentiasa sabar dan kuat semangat.

“Saya beri sedikit duit belanja buat keduanya. Semoga adik berdua kuat yer. Semoga adik berjaya dalam hidup dan terus kuat tabah yer. Jumpa mak dalam syurga insyaAllah,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here