Hadkan jumlah jemaah di masjid untuk elakkan bahaya – Sultan Selangor

0
156
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, bahawa keputusan yang dibuat untuk menghadkan bilangan jemaah di masjid-masjid adalah demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara dan Selangor khususnya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, lebih membimbangkan baginda apabila statistik terbaharu di Selangor membabitkan kes-kes jangkitan wabak Covid-19 masih lagi meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.

“Sultan Selangor memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri ini yang belum boleh berjemaah solat fardu dan menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid kerana mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baginda turut membaca sendiri rayuan yang disalurkan menerusi Mufti Selangor dan juga permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, baginda menegaskan bahawa keputusan yang dibuat untuk menghadkan bilangan jemaah di masjid-masjid adalah demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, baginda juga kesal kerana ada segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya mementingkan diri dengan sanggup memudaratkan jemaah lain sekiranya masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

Katanya, baginda tidak mahu lebih ramai lagi rakyat Selangor mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Selepas ini, baginda berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan yang telah diambil sebulat suara oleh pihak berwajib ini, demi keselamatan umat Islam di Selangor.

“Tegas naginda lagi, tidak bererti jika masjid dan surau ditutup maka amal ibadah juga akan terhenti,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here