Henti berpolitik, rakyat sudah tidak peduli

0
196
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa pemimpin politik segera menghentikan polemik kuasa dan kedudukan dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat dan membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penularan pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan musibah banjir memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat.

Justeru katanya, hentikan segala hiruk-pikuk berpolitk dan berpolemik mengenai kuasa dan kedudukan demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat dan membantu mereka yang benar-benar susah.

“Pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan musibah banjir buruk yang menimpa beberapa buah negeri memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat!

“Natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa hinggakan pelaburan makin menguncup dan kadar pengangguran kian meningkat, turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka,’’ dalam hantaran Facebook, semalam.

Dr. Asyraf Wajdi berkata, kesusahan yang ditanggung rakyat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini tidak sama dengan PKP yang lalu, ditambah dengan proklamasi Darurat yang sudah tentu lebih meruncing. 

“Rakyat terpaksa menghadapinya tanpa moratorium automatik, tanpa bantuan tunai yang besar, tanpa insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri. 

“Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang,’’ katanya.

Beliau berkata, di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat itu, sudah tentu polemik politik, sama ada dalaman parti dan antara parti adalah perkara terakhir yang rakyat mahu terjebak atau terheret. 

Sebab itu katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian, UMNO harus kembali kepada landasan yang asal dengan menjadikan mantra “Tradisi Membela Rakyat” sebagai teras perjuangannya ketika ini. 

Tambahbya, kepimpinan UMNO sama ada di dalam mahupun di luar pentadbiran Kerajaan mesti berusaha menuntut bagi pihak rakyat perkara-perkara yang menyentuh kebajikan mereka, antaranya mempermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat/kriteria, bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama dan lanjutan Moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here