Jabatan Imigresen tidak lantik mana-mana pihak urus Program Rekalibrasi PATI

0
88
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud

CYBERJAYA- Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, terdapat cubaan oleh agen dan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi tersebut.

“Perkhidmatan itu ditawarkan kepada majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang urusan dengan agen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pendaftaran program berkenaan boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my.

“Jabatan ini akan membuat pengumuman dari masa ke masa berhubung Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan http://eapp.imi.gov.my/spo,” katanya

Program Rekalibrasi PATI yang merangkumi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang bermula pada 16 November lalu sehingga 30 Jun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here