Jom ulangkaji apa 3 adab menuntut ilmu

0
256
Ustaz Ali Nurdin

CYBERJAYA – Islam menerapkan beberapa adab yang perlu dijaga dan dituruti dalam menuntut ilmu supaya segala pengetahuan yang diperolehi seseorang itu tidak akan terpesong sehingga membawa ke jalan maksiat.

Pengetua Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, Ustaz Ali Nurdin berkata, tiga akhlak menuntut ilmu menurut Islam dirumuskan dalam 3 prinsip utama iaitu belajar, beramal dan menyampaikan kepada orang lain.

“Kenapa adab menuntut ilmu itu sangat penting bagi kita umat Islam? Ia kerana supaya tujuan ilmu itu tidak terpesong dan kekal menjadi hidayah hidup sebagai hamba Allah.

“Satu pun daripada tiga ini tidak dapat dipisah atau ditinggalkan kerana ia tiga serangkai.

“Tanpa salah satu ini akan menyebabkan seseorang itu tersasar daripada kemurnian ilmu, menjadi manusia yang riak, menginginkan pujian, menghina dan menyembunyikan kebenaran,” katanya.

Ali atau lebih dikenali sebagai Ustaz Den berkata demikian dalam sesi Live Facebook bertajuk Adab Menuntut Ilmu yang disiarkan oleh laman Malakat Mall, malam ini.

Sesi Live Facebook bertajuk Adab Menuntut Ilmu yang disiarkan oleh laman Malakat Mall, malam ini.

Beliau berkata, penuntut ilmu perlu mengikuti pesanan Rasulullah S.A.W yang menekankan niat yang betul dan ikhlas dalam menuntut ilmu.

Mengulas lanjut ketiga-tiga prinsip berkenaan, Ustaz Den berkata, dalam prinsip pertama iaitu ‘belajar’, seseorang itu perlu berusaha dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Katanya, sikap rajin perlu diterap kerana ilmu yang dituntut tidak akan memasuki kepala mereka yang sombong dan bongkak, berbuat maksiat dan berniat tidak baik.

“perlu sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran supaya ilmu yang diperolehi itu dapat memberi manfaat kepada orang lain. Dan perlu diingat bahawa ilmu itu milik Allah dan Allah hanya memberikan ilmu kepada siapa yang dimahukan-Nya,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain ketekunan yang tinggi, penuntut atau murid juga perlu mempunyai hubungan yang baik dan akrab dengan guru bagi memastikan sikap hormat dan taat.

“Islam menetapkan murid dengan guru perlu mempunyai hubungan yang baik seperti ayah, abang, atau sahabat supaya mereka dapat bercerita atau berkomunikasi dalam kepercayaan yang jitu.

“Jika lompong aspek ini, kita lihat apa yang berlaku sekarang bahawa generasi kini tidak lagi merujuk guru tapi lebih selesa bertanya sesama kawan yang akhirnya menyesatkan mereka,” ujarnya.

Contoh terbaik yang boleh dilihat adalah pada pergantungan manusia pada perkhidmatan Google atau Internet sekarang yang bermanfaat tetapi ‘meninggalkan’ aspek-aspek Islam yang lain.

“Google itu mempunyai semua ilmu, baik atau buruk. Ia pusat informasi, tapi satu perkara yang tidak dapat diwakili olehnya adalah pemindahan ‘roh’.

“Google hanya sebagai media, tapi guru itu hidup dengan ilmu sebagai rujukan kita dan atas sebab itu ulama mengatakan ; “Barangsiapa yang gurunya adalah buku (google) maka kesilapannya akan lebih besar daripada kebenaran,” katanya.

Prinsip seterusnya adalah beramal dengan ilmu yang diperolehi.

Ustaz Den berkata, setiap pengetahuan yang diperolehi tidak sekadar cukup dengan konsep ‘tahu’ sebaliknya perlu hadir bersama keberkatan dan niat untuk digunakan ke jalan Allah.

Justeru katanya, jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam.

“Perlu diingat bahawa ganjaran bagi orang yang menuntut ilmu ini balasan kebaikannya sama sebagaimana orang-orang yang beramal dengannya.

“Dan lebih malang lagi bagi orang-orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka,” katanya.

Dan yang terakhir dan kemuncak dalam adab menuntut ilmu adalah menyampaikan ilmu yang diketahui kepada orang lain.

Katanya, niat utama dalam amalan menuntut atau mengajarkan ilmu seharusnya dimulakan untuk tujuan beribadat kepada Allah justeru ilmu yang dimiliki tidak akan sempurna sekiranya tidak disampaikan.

Ustaz Den berkata, ingatlah sabda Rasulullah; Barang siapa yang ditanyakan mengenai sesuatu dan kemudian menyembunyikan apa yang dia tahu maka pada hari akhirat dia akan diancam dengan neraka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here