Kami tidak akan berdiam diri pada ‘penceroboh’ – Pembela

0
180
Aminuddin Yahaya 

CYBERJAYA – Sandiwara kumpulan pekebun Musang King yang menceroboh tanah kerajaan di Raub, Pahang untuk menangguh dan berkeras untuk tidak keluar dari tanah itu sudah dapat dijangka.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya  berkata, usaha menangguh arahan daripada pihak berkuasa itu tidak menghairankan kerana perkara itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini sehingga berlanjutan selama empat bulan.

“Kita tidak akan terkesan dan bosan mengikuti permainan-permainan mereka. Jangan sangka kami akan berputus asa dan akhirnya berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataaan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan 204 pekebun berkenaan menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Datuk M.Gunalan membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi zoom.

“Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman,” kata peguam plaintif, Siew Choon Jern seperti dilaporkan Bernama semalam.

Mengulas perkara sama, Aminuddin turut mempersoalkan kehadiran pihak polis dan tentera yang dikerahkan melakukan rondaan di kebun terbabit semalam.

“Tetapi persoalan saya, apa gunanya polis dan tentera dikerahkan ke Raub dengan merentasi banjir dan terpaksa melayani ‘drama-drama’ penceroboh pada pagi tadi (Selasa)?

“Rakyat baru sahaja mahu tarik nafas lega apabila dapat tahu mereka akan dihalau, tetapi nampaknya tidak ada progres pun akhirnya,” katanya.

Semalam, beberapa orang anggota tentera dilaporkan memasuki kawasan Bukit Benom di Sungai Klau iaitu kawasan yang diceroboh bagi penanaman durian Musang King.

Bilangan sebenar anggota tentera yang tiba di kawasan tersebut tidak dapat dipastikan, namun menurut Sin Chew Daily jumlahnya lebih kurang 10 orang.

Sin Chew Daily turut melaporkan, anggota tentera telah dihantar oleh Jabatan Hutan menaiki tiga buah kenderaan bagi melakukan perbincangan dengan para pekebun berkaitan operasi penutupan kebun.

Pada masa sama, anggota polis berkenaan mengarahkan para pekebun untuk segera meninggalkan kawasan berkenaan, selain memberi amaran tindakan penguatkuasaan akan dijalankan.

Berang dengan perkara itu, sebahagian pekebun berteriak kepada anggota polis terbabit sambil mempersoalkan sama ada mereka mahu membantu Royal Pahang Durian atau rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here