
KUALA LIPIS – Sebuah kapal purba yang ‘muncul’ selepas banjir besar surut di Kampung Pagar, Penjom, dekat sini pada 14 Januari lalu dipercayai dari jenis steamship (kapal stim) yang digunakan dalam aktiviti perlombongan emas sekitar abad ke-19 di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, artifak yang dipercayai tenggelam akibat terkena tembakan itu akan ditempatkan di Muzium Warisan Lipis di bawah jagaan Pejabat Daerah Lipis.
Katanya, Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan kerjasama penduduk kampung telah menjalankan proses menyelamat khazanah tersebut dimulakan sejak 19 Januari lalu, termasuk proses dokumentasi, merekod dan pemuliharaan.
“Penyelidikan pada fasa seterusnya dijangka akan melalui proses ekskavasi arkeologi di tapak jumpaan untuk mendapat maklumat secara saintifik dan memastikan kesuluruhan artifak yang tertinggal berkaitan relik tersebut dapat ditemukan.
“Daripada tinjauan permukaan dijalankan, lebih 100 pecahan kayu ditemukan yang dipercayai merupakan sebahagian daripada badan kapal tersebut, ia berdasarkan morfologi dan jenis kayu serta paku yang terdapat pada jumpaan tersebut.
“Turut ditemukan sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu yang terdiri daripada seramik China dan Eropah di sekitar tapak jumpaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, berdasarkan rekod sejarah, terdapat beberapa kapal jenis steamship telah beroperasi atau melalui sungai Pahang di Kuala Pahang sehingga Sungai Lipis, antaranya, SS Amherst yang dilaporkan karam di Kuala Pahang dan kapal Seri Pahang yang dipercayai karam di Paloh Hinai, Pekan.
Selain itu, terdapat sebuah lagi kapal yang pernah beroperasi di kawasan sama, iaitu SS Senyum yang beroperasi di bawah syarikat perlombongan emas Penjom, namun tiada rekod kapal berkenaan karam ditemui setakat ini.
Pada 14 Januari lepas, sebahagian struktur kapal yang hampir lengkap ditemukan terdampar berhampiran Sungai Lipis oleh penduduk kampung berkenaan setelah banjir teruk mula melanda Pahang pada 3 Januari surut
Turut ditemui pada kapal itu kepingan tembaga yang tertulis Vivian&Sons yang merujuk kepada syarikat pengeluar salutan tembaga.
Sebelum ini juga, penduduk mendakwa sebahagian daripada khazanah di dalam kapal berkenaan telah dilarikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.