
RAUDHAH CITY – Jenama pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah antarabangsa terkemuka, Brainy Bunch akan memperkasakan model pendidikan dalam talian (online) sebagai persediaan jangka masa panjang akibat pandemik Covid-19.
Sebahagian daripada persediaan yang telah dilaksanakan Brainy Bunch adalah melalui adaptasi modul K12.com, iaitu platform pendidikan berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai penambah baikan kaedah pembelajaran dalam talian sedia ada.
Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim berkata, walaupun beliau tidak bersetuju melihat kelas online menjadi norma baharu pendidikan, pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan pendidikan terbaik.
Bagaimanapun katanya, sekiranya sesi persekolah terpaksa ditangguh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan, Brainy Bunch sudah bersedia dengan kaedah pendidikan online.
“Mustahil kelas online akan dapat menggantikan kelas secara biasa. Sebab kalau ia mencukupi, sekolah tidak lagi diperlukan.
“Tapi jika keadaan tidak membenarkan sekolah dibuka, kita sudah bersedia,’’ katanya ketika membicarakan Ujian Sosial Akhir Zaman dalam Live Facebook Malakat Now malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, melalui pelaburan awal dan pembelian sekolah online yang kini berada pada tahap akhir, pihaknya yakin akan dapat memberi tumpuan kepada kedua-dua kaedah pembelajaran.
“Kandungan online yang sudah tersedia pula boleh dijadikan rujukan pelajar.
“Kita akan terus buat penambahbaikan, misalnya kelas online akan beri tumpuan kepada dua iaitu syarahan dan rakaman manakala kaedah penyampaian pula dibahagi untuk kelas dan individu,’’ katanya.
Antara kejayaan pendidikan online yang telah dicapai katanya adalah ‘three periods lesson’ di kelas montessari yang membolehkan pelajar berkomunikasi dengan rakan-rakan sekelas pada satu-satu masa.
Coach Fadzil berkata, dalam persediaannya menambah baik sistem pembelajaran online, beliau berharap institusi-institusi pendidikan dalam negara akan dapat kembali beroperasi bagi mengurangkan impak kepada pelajar khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
“Kanak-kanak memerlukan banyak pemantauan dalam pembelajaran, mereka tidak boleh dibiarkan dengan gajet sepanjang masa.
“Daripada PKP yang lalu, kita perhatikan ‘jam biologi’ anak-anak kita sudah jauh ‘lari’. Malam berjaga, bangun lambat dan habiskan masa dengan video game.
“Ini sangat bahaya kepada perkembangan mental dan menjejaskan kemahiran sosial untuk jangka masa panjang,’’ katanya.