Kem PLKN, Kem Bina Negara dan fasiliti bersesuaian jadi pusat tahanan sementara

0
111
Banduan dan tahanan yang akan ditempatkan di kem-kem ini adalah banduan dan tahanan dengan kesalahan ringan sahaja.

CYBERJAYA – Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Bina Negara dan fasiliti lain yang bersesuaian akan dijadikan fasiliti tahanan sementara serta depoh tahanan sementara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia bagi kegunaan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara sewaan.

Beliau berkata, langkah berkenaan diambil bagi menjamin penjarakan fizikal banduan dan tahanan di penjara, depoh tahanan serta lokap seterusnya mengelakkan penularan Covid-19.

“Banduan dan tahanan yang akan ditempatkan di kem-kem ini adalah banduan dan tahanan dengan kesalahan ringan sahaja.

“Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM, PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk ditempatkan sementara bagi menjamin keselamatan yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zuki, PDRM ketika ini sedang melakukan rundingan dengan pemilik-pemilik fasiliti yang bersesuaian untuk dijadikan lokap sementara.

“Pengoptimuman penggunaan fasiliti sedia ada yang bersesuaian serta mengelakkan dari implikasi kewangan yang lebih besar bagi pembinaan fasiliti baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here