Kemudahan mussola untuk penghuni pusat pemindahan banjir

0
36
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

MARAN – Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang dan akan mewujudkan mussola di pusat-pusat pemindahan banjir bagi memudahkan mangsa banjir menunaikan solat.

Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keadaan rumah mangsa banjir yang tidak terurus serta dipenuhi lumpur membataskan mereka mengerjakan solat di kediaman masing-masing.

“Mussola ini diharap dapat membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan lebih selesa kerana ia turut dilengkapi kemudahan mengambil wuduk dan sejadah.

“Agensi kami seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan membantu mewujudkan mussola ini bagi mereka menunaikan solat dengan selesa, bagi pusat pemindahan di masjid dan surau kami akan membantu mencuci kawasan berkenaan,” katanya selepas melancarkan mussola di pusat pemindahan Taman Maran Jaya, dipetik Bernama, semalam.

Dr. Zulkifli menerima sumbangan pembinaan musolla (surau) sementara daripada Yadim di Pusat Penempatan Sementara Qiraati al-Amin, Taman Maran Jaya. 

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib.

Sementara itu, Zulkifli berkata, semua agensi di bawah kementeriannya kini menggembleng tenaga untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.

Beliau berkata selain Yadim, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Yayasan Taqwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat diarah mengagih bantuan kepada mereka yang terlibat.

“Masing-masing mempunyai peranan, ada yang bantu dari segi makanan, pakaian, duit, kelengkapan, buku dan sebagainya, kami cuba bantu sehabis baik,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan peribadi dan makanan kepada 162 keluarga di pusat pemindahan banjir itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here