Kerajaan akan perluas bidang kuasa Maqis

0
64

SHAH ALAM – Kerajaan mempertimbangkan pindaan akta bagi memperluaskan kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) bagi menangani salah laku berkaitan kemasukan produk pertanian termasuk bekalan daging.

Ahmad Hamzah

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagi tujuan itu kerajaan sedang menyemak pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Beliau menjangkakan aspek penguatkuasaan dan isu penyeludupan produk pertanian akan lebih berkesan serta mampu ditangani menerusi pindaan akta tersebut.

Katanya, Maqis pada masa ini hanya berkuasa di pintu masuk iaitu laut, darat dan udara bagi pemeriksaan produk pertanian.

“Kita dalam peringkat pemeriksaan membabitkan pindaan akta itu untuk memperluaskan tanggungjawab serta kuasa Maqis dan berharap ia dapat disegerakan (selepas Parlimen bersidang).

“Ia membabitkan usaha ke arah meluaskan kuasa Maqis berbanding sekarang yang hanya terhad di pintu masuk. Sepatutnya ia lebih luas kerana ini memang bidang Maqis,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Terdahulu, beberapa serbuan oleh agensi penguatkuasaan termasuk Maqis Pulau Pinang merampas daging kambing dari New Zealand tanpa logo halal seberat 22,861 kilogram bernilai lebih RM480,000 di Terminal Kontena Butterworth Utara.

Mengulas perkara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan syarikat pengimport mencuba nasib membawa masuk bekalan tidak diiktiraf termasuk logo halal susulan permintaan tinggi di negara ini.

Beliau berkata, tahap sara diri daging negara ketika ini hanya 23 peratus sehingga menyebabkan terpaksa bergantung kepada daging import bagi menampung permintaan.

“Permintaan ketika ini tinggi sebab ramai orang makan di rumah. Atas sebab ini, kita membuka peluang kepada mana-mana syarikat untuk memohon permit import (AP) bagi tujuan mengimport bekalan.

“Kita tidak mempunyai had memberikan AP dalam kalangan syarikat, namun perlu memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pemeriksaan tetap dilaksanakan secara ketat khususnya di pintu masuk bagi memastikan pemegang AP mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sehingga kini, katanya, terdapat sebanyak 318 syarikat pengimport yang berdaftar secara pentadbiran dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sehingga Disember lalu dengan 125 daripadanya ialah syarikat bumiputera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here