Kerajaan harap harga minyak sawit mentah terus tinggi -Menteri

0
129

CYBERJAYA – Kenaikan harga minyak masak dalam negara pada ketika ini hanya melibatkan kadar yang rendah pada masa sama memberi lebih pulangan kepada negara dalam perdagangan minyak sawit mentah (MSM).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga MSM telah meningkat dengan ketara antara Julai tahun lalu sehingga sekarang, tapi kenaikan harga minyak masa di pasaran adalah pada kadar rendah.

Katanya, keadaan itu menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia.

“Peningkatan harga MSM ini telah meningkatkan hasil kepada negara dan membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

“Kementerian berharap harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

Media baru-baru ini melaporkan kenaikan mendadak harga minyak masak botol iaitu pada kadar harga RM4 hingga RM6 sebotol.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020.

“Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik satu kilogram.

“Selebihnya sebanyak 0.28 juta tan tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol satu kilogram hingga lima kilogram dan tin 17 kilogram,” katanya.

Katanya, harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan pelbagai faktor seperti permintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here