Kerajaan setuju laksanakan mobilisasi sumber-KSN

0
141
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali

CYBERJAYA-  Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bersetuju untuk memobilisasi sumber perkhidmatan awam persekutuan dan negeri.

Mohd Zuki berkata, mobilisasi itu termasuk penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang memerlukan perkhidmatan tambahan terutama bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Beliau berkata, penggunaan aset kerajaan yang kurang optimum seperti kenderaan jabatan boleh dikongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan terselaras.

“Mobilisasi ini bagi memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat. Bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian di seluruh negara juga akan dikenal pasti bagi tujuan pusat pengambilan swab test.

“Jabatan Perkhidmatan Awam akan bertanggungjawab menyelaras perkara ini bersama Kementerian Kesihatan dan kementerian, jabatan atau agensi lain yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zuki, jawatankuasa itu juga akan memastikan integrasi keupayaan perkhidmatan hospital awam dan swasta dalam tempoh darurat.

“Ia memastikan koordinasi yang sistematik agar jaminan akses kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19.

“Mengoptimakan sumber kesihatan dan kepakaran yang ada untuk tujuan perawatan pesakit sewaktu pandemik Covid-19.

“Pengoperasian hospital awam termasuk Hospital Universiti, Hospital Angkatan Tentera dan Hospital Swasta akan diletakkan secara hibrid berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu,” ujarnya.

Selain itu katanya, jawatankuasa itu turut akan mengoptimakan kapasiti makmal sedia ada terutamanya di Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Universiti Awam bagi tujuan pengujian serta pengesanan Covid -19 secara berskala besar.

“Mobilisasi lain-lain sumber perubatan seperti peralatan, PPE, ubat-ubatan adalah mengikut keperluan hospital terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuklah memobilisasi anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam.

“Mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan industri insurans.

“Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan.

“Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan libat urus dengan pihak hospital swasta dan pihak berkepentingan lain dalam memastikan kelancaran pengurusan Covid-19 serta perkhidmatan kesihatan umum tidak terjejas,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here