Kerajaan tubuhkan jawatankuasa teknikal urus situasi darurat

0
85

CYBERJAYA – Kerajaan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat, bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu paparan di laman Facebook milik beliau, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan diputuskan pada Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan beliau hari ini, secara sidang video bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

“Jawatankuasa teknikal ini antara lain akan bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat.

“Ia juga berfungsi untuk meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian,” kata Muhyiddin dalam paparan tersebut.

Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Muhyiddin, jawatankuasa itu juga akan dianggotai lapan ahli tetap terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.

Beliau turut menegaskan, jawatankuasa itu juga berperanan menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri, selain mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here