Kes Covid-19 di Selangor semalam kumulatif tertunggak

0
75
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Peningkatan mendadak kes harian Covid-19 di Selangor semalam sehingga mencecah angka 3,126 kes adalah kes tertunggak daripada saringan yang tidak dilaporkan secara terus sejak 10 hari lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kes tertunggak tersebut adalah kes kumulatif daripada saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang sepatutnya tidak berlaku.

“Bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, punca peningkatan itu dimaklumkan JKNS pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 Negeri Selangor semalam.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan melaksanakan program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) di kilang-kilang seluruh negeri yang dikenal pasti sebagai kawasan utama penularan pandemik berkenaan.

POIS, katanya, akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Beliau berkata, bagi mengelak perkara itu daripada berulang, kerajaan negeri akan mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan supaya mengambil tindakan tegas termasuk menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat.

Amirudin berkata, pihaknya juga bercadang untuk menambah bilangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak untuk menganalisis pesakit Covid-19 untuk dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin atau hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu katanya Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit.

Semalam, negara merekodkan kes positif harian Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 5,725 dengan Selangor mencatatkan kes terbanyak iaitu 3,126 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (687 kes) dan Johor (684 kes).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here