Kes dijangka stabil seminggu lagi, PKP mungkin diperketatkan

0
115
Suasana di sekitar Kuala Lumpur yang lengang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

CYBERJAYA – Kes harian positif Covid-19 di dalam negara dijangka stabil pada kadar 3,000 kes dalam tempoh seminggu lagi, kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan perkembangan semasa, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan diperketatkan lagi pelaksanaan PKP.

Katanya, walaupun PKP telah dilaksanakan pada 13 Januari lalu namun kesan masih belum dapat dilihat kerana tempoh inkubasi yang mengambil masa kira-kira dua minggu

“Mungkin kes akan terus meningkat untuk beberapa hari lagi tapi dalam masa seminggu lagi kita jangka kes akan kembali stabil dalam anggaran angka 3,000 (setiap hari).

“Dan kita mungkin akan menilai semula sama ada kita perlu lanjutkan PKP untuk tempoh dua minggu lagi,” katanya dalam sidang media berkaitan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah

Dr. Hisham berkata, peningkatan kes kini melibatkan semua negeri kesan daripada kelonggaran dan kebenaran merentas negeri pada 7 Disember lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak adalah wajar kerana pertambahan kes termasuk di Lembah Klang adalah hasil daripada aktiviti rentas negeri dan daerah yang menjadi antara punca peningkatan kes di Semenanjung Malaysia

“Kes makin meningkat walaupun kita telah menjalankan PKP 2.0 pada 13 Januari lalu tetapi kesan PKP itu masih belum dapat dilihat.

“Sebab itu adalah wajar untuk kita laksanakan PKP di seluruh negara,” katanya.

Kementerian Kesihatan dalam tempoh 24 jam yang lalu merekodkan 4,008 kes baharu positif covid-19 dengan 11 kematian di negara ini.

Mengenai penularan kes yang masih berterusan di depoh tahanan dan penjara, Dr Noor Hisham berkata jangkitan masih berlaku dalam kalangan banduan dan petugas kerana faktor kesesakan dan pemindahan tahanan sama ada ke mahkamah atau penjara.

Katanya sehingga semalam, terdapat 28 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga dan daripada jumlah itu, 20 kluster adalah kes indeks dan tujuh kluster dilaporkan melalui saringan bersasar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here