
KUALA LUMPUR – Pengesanan kes pertama Covid-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike dari United Kingdom (UK) di Malaysia, semalam tidak melibatkan penularan dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut dikesan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK pada bulan Disember 2020.
Beliau berkata, individu didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.
“KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.
“Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat,” katanya melalui hantaran Facebook, malam tadi.
Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan KKM telah melakukan “genome sequencing” bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel.
“Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India,” katanya.