Ketatkan PKP, kes kurang baru kami boleh berniaga

0
108

CYBERJAYA – Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) memberi kesan besar kepada usahawan di negara ini, rata-rata golongan itu akur dengan harapan perintah itu dapat mengurangkan kes Covid-19 yang masih tinggi dalam komuniti.

Bagaimanapun, ramai juga yang berharap tempoh yang ditetapkan itu dapat digunakan sebaik-baiknya oleh kerajaan untuk memperketatkan pergerakkan orang ramai supaya pelaksanaannya berkesan seperti PKP 1.0 yang lalu.

Muhamad Basir bersama isterinya, Noor Azlina Jaafar yang mengusahakan Burger Abah Mook di Seri Kembangan, Selangor.

Pengusaha Burger Abah Mook, Muhamad Basir Abu Bakar berkata, sebagai peniaga beliau faham keperluan PKP 2.0 dilaksanakan namun berharap ia benar-benar memberi berkesan.

Beliau yang mengusahakan jualan burger dari rumah di Seri Kembangan, Selangor sejak setahun lalu mengaku terpaksa redha dengan penguatkuasaan perintah berkenaan.

“Perniagaan saya terjejas teruk sejak PKP 2.0, hasil jualan boleh dikatakan berkurang sehingga 50 peratus.

“Sebagai peniaga, saya akur (PKP) sebab jika kes Covid-19 masih tinggi dalam komuniti, sampai bila pun kita tidak dapat berniaga dengan tenang.

“Saya berharap kerajaan gunakan tempoh PKP ini sebaiknya. Kalau perlu perketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP), buat betul-betul asalkan Covid-19 dapat dikawal,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Bahkan Muhamad Basir berkata, kelonggaran SOP tidak memberi apa-apa kebaikan sebaliknya seperti perintah acuh tidak acuh yang membuatkan pandemik tersebut berpanjangan.

Katanya, keadaan itu lebih ‘kritikal’ bagi usahawan makanan seperti dirinya yang amat menitik beratkan soal risiko jangkitan.

“Tak guna berniaga kalau orang ramai masih takut untuk datang berurusan dengan kita kerana kes masih tinggi,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP 2.0 ini, Basir yang dibantu isterinya, Nor Azlina Jaafar berkata, mereka terpaksa mengubah strategi pemasaran dan tidak boleh lagi bergantung kepada tempahan pelanggan perseorangan.

“Kami masih beroperasi seperti biasa. Kami menyediakan khidmat penghantaran sendiri dan juga Food Panda.

“Selain itu, kami juga menerima tempahan burger untuk disedekah ke pusat pengajian, kariah masjid dan mesyuarat agensi dan jabatan kerajaan,” katanya.

Sebahagian daripada burger yang ditempah pelanggan.

Sementara itu, pengusaha aiskrim Popslab Putrajaya, Syefry Moniz juga berkongsi pendapat yang sama mengenai pelaksanaan PKP oleh kerajaan.

Katanya, walaupun golongan usahawan kecil dan sederhana terkesan teruk akibat sekatan pergerakan itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mengharapkan wabak ini reda.

“Kalau boleh saya memang nak PKP ini ditamatkan segera tapi tak guna tamat kalau kes masih tinggi.

“Apa pun kita sebagai usahawan kena sentiasa cari jalan untuk meneruskan perniagaan,” katanya yang mengusahakan aiskrim perisa buah-buahan asli di Taman Pinggiran Putra, Putrajaya.

Syefry Moniz yang memulakan perniagaan aiskrim daripada buah-buahan segar sejak setahun lalu di kediamannya di Taman Pinggiran Putra, Putrajaya.
Aiskrim perisa tembikai keluaran Poplabs Putrajaya.

Bekas jurugambar profesional itu berkata, perniagaan yang diusahakan mengalami kemerosotan jualan kira-kira 30 hingga 40 peratus sejak PKP 2.0 lalu.

Lebih membebankan katanya, hampir kesemua ejen-ejen yang dilantik tidak lagi dapat menjual produk homemade itu kerana sambutan berkurangan.

“Selepas 2 kali PKP saya rasa orang ramai makin terkesan. Kesan ekonomi ini timbul dari macam-macam punca, ada yang hilang kerja, kena potong gaji dan sebagainya.

“Apa pun saya syukur sebab masih dibenarkan membuat penghantaran aiskrim di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan orang ramai terutama di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Dengkil untuk menjadi ejen produk keluarannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here