Kita kekurangan katil jika Covid-19 naik 5,000 kes sehari

0
53
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KOTA BHARU – Negara akan berdepan dengan masalah kekurangan katil untuk menempatkan pesakit Covid-19 sekiranya jumlah kes mencecah angka 5,000 hingga 8,000 setiap hari.

Menteri Pertahanan Kanan (Keselamatan ), Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kemudahan itu masih mencukupi ketika ini, beliau memberi andaian amat sukar untuk kerajaan mengatas masalah itu sekiranya ia berlaku.

“Sebagaimana disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan sendiri bahawa ada kebimbangan dari segi katil. Kita takut katil tidak mencukupi.

“Itu yang membimbangkan walaupun kes harian dah mencecah 2,000 atau 3,000, tapi kalau 5,000 atau 8,000 sehari memang agak sukar untuk tampung keperluan tersebut. Tapi belum sampai ke tahap itu lagi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Ismail berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kelantan oleh Menteri Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima 8 Briged, Zamsari Abu Hasan dan wakil pemimpin tempatan, Akbar Salim.

Tegas Ismail Sabri, sebelum pandemik Covid-19 berada pada tahap yang membimbangkan seperti itu, maka semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan keadaan tersebut tidak berlaku.

“Kalau rakyat bekerjasama membantu kerajaan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP), insyaAllah kita mampu untuk melandaikan graf jangkitan.

“Paling penting kerjasama daripada rakyat. Kalau kita tidak bekerjasama, tak ikut SOP dan sebagainya, tidak mustahil kes akan terus meningkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here