KKM ambil maklum kes kematian akibat vaksin C-19 di Norway demi rakyat Malaysia

0
197

CYBERJAYA – Faktor usia dan kesihatan seseorang akan menjadi kriteria utama dalam pengemaskinian maklumat suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.

Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan itu diteliti selepas mengambil kira laporan kes kematian penerima vaksin buatan Pfizer-BioNTech di Norway, baru-baru ini.

“KKM mengambil maklum laporan yang dikeluarkan oleh Norwegian Medicines Agency bertajuk ‘Covid-19 vaccination associated with adverse drug reactions in elderly people who are frail’, pada 15 Januari 2021 berikutan kematian 23 individu berusia 80 tahun ke atas di Norway selepas disuntik vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech.

“Merujuk kepada laporan awal yang dikeluarkan pihak Norwegian Medicines Agency, kes kematian adalah dalam kalangan penerima warga emas yang uzur, selain mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Autopsi menunjukkan penerima mengalami demam, mual dan cirit-birit yang merupakan kesan advers biasa selepas penerimaan imunisasi,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dr. Adham berkata, KKM sentiasa komited dalam memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdafta terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

“Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah Adham, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kini sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pemegang pendaftaran produk, Pfizer (M) Sdn Bhd dan memantau perkembangan isu ini, termasuk tindakan yang diambil oleh badan regulatori antarabangsa yang lain seperti European Medicines Agency (EMA).

Adham berkata, vaksin Covid-19; COMIRNATY Concentrate For Dispersion For Injection keluaran Pfizer-BioNTech telah diberikan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021 oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Pendaftaran itu diberi agar akses segera kepada vaksin tersebut diperolehi untuk mencegah pandemik penyakit Covid-19 yang sedang melanda dunia.

“Data efikasi dan keselamatan bagi vaksin ini diperolehi daripada kajian klinikal fasa tiga yang melibatkan 44,000 orang sukarelawan, yang turut membabitkan golongan yang berumur lebih daripada 75 tahun.

“Berdasarkan kajian klinikal tersebut, vaksin ini telah menunjukkan 95 peratus keberkesanan dalam mencegah jangkitan Covid-19 yang bergejala apabila diberikan dua dos lengkap dalam selang masa 21 hari.

“Kajian klinikal menunjukkan kesan advers adalah dalam julat yang boleh diterima dan adalah bersifat sementara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here