KM Pulau Pinang dikecam isu pembelian Mercedes S560E

0
149
Kendereaan rasmi untuk Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu dibeli. Gambar hisan,

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam permohonan maafnya mengakui pembelian kereta rasmi jenis Mercedes S560e adalah kurang tepat ketika negara sedang berdepan penularan Covid-19.

Kon Yeow berkata, beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas pembelian kereta mewah berharga RM458,000 itu dan akan lebih prihatin dalam perbelanjaan kerajaan negeri.

Beliau berkata, walaupun wujud keperluan untuk membeli kereta itu, masanya kurang tepat dan telah mencetuskan tanggapan kurang baik dalam kalangan rakyat.

“Kereta untuk kegunaan Ketua Menteri dibeli mengikut proses pentadbiran sewajarnya dan saya ambil maklum pandangan semua pihak berhubung isu berkenaan, saya juga mengakui perkara itu adalah satu pengajaran kepada saya dan kerajaan negeri susulan tindakan pembelian tersebut menyebabkan rakyat risau dan tersinggung.

“Namun sebagai Ketua Menteri jika ada pihak tersinggung dan rasa ia tidak tepat pada waktunya, kalau ada keperluan pun mungkin boleh ditunda sebab pandemik, saya memikul tanggungjawab terakhir pada isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan ikhlas beg penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Padang Kota di sini hari ini.

Khamis lepas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang telah dibekalkan dengan kereta rasmi baharu model Mercedes S560e bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Namun, pembelian kereta rasmi baharu itu dikecam ramai pihak termasuk Parti Gerakan yang meminta kerajaan negeri agar tidak boros berbelanja terutama dalam perkara yang tidak begitu penting seperti menukar kereta rasmi Ketua Menteri yang baharu.

Menjawab soalan media berhubung kerisauan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta berharga ratusan ribu itu, Chow berkata, perkara tersebut tidak benar kerana sebenarnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here