Kompaun ingkar SOP dicadang ditambah dengan denda maksimum kepada individu, syarikat

0
89
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan telah meminta Peguam Negara untuk meningkatkan denda dan bentuk hukuman ke atas individu dan syarikat yang melakukan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana meskipun peringatan telah diberikan setiap hari, masih ramai yang ingkar SOP dan tidak takut dengan jumlah denda yang dikenakan.

“Sewaktu darurat ini ordinan boleh digubal yang berkaitan apa sahaja dengan Covid-19, kita dapati salah satu sebab kegagalan pematuhan ialah hukumannya begitu rendah.

“Setakat ini Akta 342 menetapkan kompaun hanya RM1,000, jadi ramai yang anggap RM1,000 terlalu rendah terutamanya melibatkan syarikat perniagaan. Sebab itu kesalahan ingkar SOP macam kelab malam, operasi perniagaan yang beroperasi lebih masa tidak takut kerana bagi mereka RM1,000 terlalu rendah.

“Malah kita pernah menyaman satu syarikat yang melanggar SOP sehinggakan ramai pekerja mereka yang positif Covid-19 dan ketika itu ramai rakyat yang marah kepada kerajaan kerana denda hanya RM1,000, namun ini tak dapat dielakkan sebab Akta 342 hanya meletakkan denda RM1,000,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya telah mencadangkan supaya hukuman itu ditambah dengan mengenakan kompaun maksimum kepada individu manakala syarikat dikenakan denda maksimum RM100,000 selain menambah hukuman penjara dengan jangka masa lebih panjang.

Beliau berkata, sekiranya perkara tersebut diluluskan oleh Peguam Negara, kerajaan akan melaksanakannya dengan segera di lapangan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here