Langgar lampu isyarat, bukan ditendang polis

0
535
Mangsa yang cedera parah dibantu orang ramai

GEORGETOWN – Pemandu kereta yang terlibat dengan satu kemalangan membabitkan dua remaja yang menunggang motosikal di Jalan Sri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong, di sini, semalam mengesahkan kedua-dua mangsa tersebut bukan terbabas akibat ditendang polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menurut laporan polis yang dibuat oleh pemandu berkenaan, motosikal yang ditunggang oleh dua remaja berkenaan tidak berhenti di lampu isyarat merah sebelum berlanggar dengan kenderaan tersebut.

“Ketika kejadian, tiga anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut sedang melakukan rondaan pada 5.20 petang.

“Anggota polis telah mengarahkan mereka memberhentikan motosikal, namun kedua-duanya ingkar dan terus melarikan diri.

“Mereka tidak memberhentikan motosikal ketika di lampu isyarat merah dan terlanggar dengan kereta dipandu lelaki dari arah Georgetown menuju ke Tanjung Bunga,” katanya dalam satu kenyataan, lewat malam semalam.

Orang ramai yang berang dengan anggota polis yang terlibat mengerumi anggota berkenaan untuk meminta penjelasan

Soffian berkata, akibat perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua remaja berkenaan terbabas dan cedera.

Beliau berkata, pemandu kereta itu tidak cedera, namun keretanya mengalami kerosakan di bahagian depan.

“Sehubungan itu, polis menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian sehingga mengelirukan.

“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut di talian 010-9771517.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam tular beberap video dan gambar orang ramai yang berang dengan anggota polis berkenaan dan mendakwa motosikal ditunggang mangsa ditendang dua anggota polis.

Kedua-dua mangsa tersebut yang mengalami kecederaan parah kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here