Lebih 1 juta mi segera guna logo palsu halal Jakim dirampas

0
2878
Sebahagian stok mi segera yang disita kerana menggunakan logo halal palsu

SHAH ALAM – Sebuah syarikat memproses mi segera yang mengaut keuntungan dengan menggunakan logo halal tanpa kebenaran sejak dua bulan lalu diserbu oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Dalam serbuan pukul 12 tengah hari kelmarin, syarikat yang beroperasi di Taman Industri Integrasi Rawang, di sini sebanyak 1,128,872 pek mi segera yang dianggarkan bernilai RM1.49 juta disita.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya sejak sebulan lalu terhadap penggunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) oleh syarikat berkenaan walaupun telah dibatalkan sejak Oktober tahun lalu.

Katanya, penarikan sijil halal itu berikutan kegagalan dalam mematuhi standard pemegang sijil halal seperti ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Ini termasuk premis kotor dan bahan mentah yang diletakkan di atas lantai kilang.

“Wakil syarikat memaklumkan telah membuat permohonan rayuan namun ditolak JAIS susulan gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap teguran yang dibuat pihak JAIS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Muhamad Zikril, pihaknya turut menemui sejumlah 258 gulung dan 2,696,00 unit plastik pembungkus serta hampir 42,000 unit kotak pembungkus yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaan oleh JAIS.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 kerana membekalkan atau menawarkan makanan dengan membuat sebarang representasi bagi memperdayakan orang Islam bahawa makanan itu boleh dimakan.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5 juta dan bagi kesalahan berikut, denda tidak lebih RM10 juta untuk perbadanan,” ujarnya.

Jelas beliau, kes turut disiasat mengikut Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here