Lelaki bina 11 bonggol ditawar khidmat psikologi

0
149
Bonggol yang dibina Nor Muhamad Roslam bersebelahan dengan rumahnya di Jertih, Terengganu.

BESUT – Seorang lelaki yang membina 11 bonggol di jalan bersebelahan rumahnya di Kampung Padang Luas di Jertih, dekat sini ditawarkan bantuan psikologi oleh Unit Khidmat Psikologi dan Kaunseling (UKPK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nor Muhamad Roslam Harun, 40, yang mengaku mengalami masalah mental dan pernah memohon maaf atas tindakannya itu dikatakan bersetuju untuk menerima khidmat kaunseling selepas dihubungi pihak UKM.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia UKM, Dr. Nazirah Hassan berkata, beliau telah menghubungi lelaki tersebut, bagi memaklumkan bantuan yang bakal disalurkan.

“Setelah kami berbual menerusi telefon, Nor Muhamad Roslam mengaku bahawa beliau mungkin mengalami masalah kesihatan mental, namun tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mendapatkan bantuan…sebab itulah juga beliau bersetuju untuk menerima khidmat UKPK,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Nazirah berkata, beberapa sesi rawatan akan dilakukan secara dalam talian bermula minggu hadapan dan sebagai permulaan, beliau perlu menentukan status psikologi Nor Muhamad Roslam.

“Penilaian secara menyeluruh untuk menentukan tahap kesihatan mental dan aspek persekitaran sosial yang mungkin mempengaruhi tingkah lakunya dan kami

juga akan lihat sekiranya ada tekanan dari sekeliling termasuklah unsur buli yang mungkin berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cepat menghukum tindakan Nor Muhamad Roslam berikutan kemungkinan masalah kesihatan mental dialaminya sedangkan mereka yang mengalami masalah sedemikian memerlukan sokongan dan perhatian daripada orang sekeliling,” katanya.

Nor Muhamad Roslam. Foto Bernama.

Baru-baru ini, tindakan Nor Muhamad Roslam membina 11 bonggol menggunakan tar di jalan tepi rumahnya telah mendapat perhatian nitizen.

Dia bertindak demikian kerana mendakwa tidak tahan dengan sikap segelintir pengguna jalan itu yang memandu laju sehingga memberi tekanan kepadanya namun, kes tersebut selesai apabila Nor Muhamad Roslam bertindak membuang semula bonggol itu pada 13 Januari lalu selepas mendapat nasihat daripada pihak polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here