‘Lockdown’ ekonomi selepas PKP 2.0?

0
533

Suasana di sekitar Kuala Lumpur yang lengang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari ini sekiranya jumlah kes harian Covid-19 di negara ini terus meningkat.

Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) dalam surat yang dikeluarkan kepada anggotanya, menyebut bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) ‘telah membuat pendirian yang jelas mengenai masalah penutupan ekonomi sepenuhnya.’

Sumber yang berkaitan dengan organisasi itu mengesahkan kesahihan surat yang memperincikan ringkasan pertemuan Ketua Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), lapor akhbar Malay Mail.

“Sekiranya angka jangkitan tidak menurun, kerajaan akan mengumumkan penutupan/perintah berkurung lebih ketat dengan segera selepas 4 Februari 2021.

“Ini adalah situasi yang kita hadapi dan MITI meminta semua perusahaan, asing dan tempatan untuk bergabung dalam usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, agar ekonomi terbuka untuk perniagaan,” menurut surat itu.

Ketua Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider

Surat itu menyatakan bahawa Schneider diundang menghadiri ‘pertemuan yang sangat penting dan mendesak’ di MITI, pada malam 22 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali.

Ia juga menyatakan bahawa KKM percaya sektor pembuatan, dengan 99 kluster Covid-19, adalah sumber utama jangkitan.

Eurocham Malaysia meminta syarikat menugaskan sekurang-kurangnya seorang penyelia sumber manusia untuk mengurus dan menyelaraskan pekerja asing atau pekerja yang tinggal di asrama untuk tujuan pencegahan.

Ia berikutan lokaliti tempat kerja yang menjadi antara penyumbang terbesar penularan wabak berkenaan sejak akhir-akhir ini.

“Syarikat kadang-kadang tidak sedar, tetapi kerajaan menggesa untuk meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan agensi pekerjaan dan rakan sumber luar untuk kepentingan semua,” kata organisasi itu.

Ia turut memaklumkan bahawa pekerja yang tinggal di rumah bersama keluarga, mungkin juga ditawarkan untuk tinggal di fasiliti kuarantin syarikat, jika mereka dan kontak rapat disyaki atau disahkan positif.

“Dalam konteks pengangkutan, syarikat harus memastikan jarak sosial dan dengan demikian disarankan pengurangan hingga 50 peratus kapasiti setiap kenderaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here