Majlis Halal Malaysia diaktifkan semula tangani isu kartel daging

0
112
Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri

CYBERJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan mengaktifkan semula Majlis Halal Malaysia (MHM) bagi mencari jalan penyelesaian isu halal ekoran kemasukan sumber daging yang diragui status halalnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, beliau telah diarahkan oleh kerajaan untuk mengaktifkan semula MHM untuk membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada kemelut itu.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas perbincangan bersama agensi berkaitan isu kartel daging import haram pada 5 Januari dan satu pertemuan dengan pengimport bersama pengedar bekalan daging pada 11 Januari lalu.

“Saya telah mengarahkan Jakim untuk mengaktifkan kembali Majlis Halal Malaysia dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya, semalam.

MHM ditubuhkan pada tahun 2016 sebagai entiti khas yang menyelaras semua agensi terbabit dalam usaha menjadikan Malaysia peneraju halal global.

Dr. Zulkifli berkata, pengaktifan semula badan itu diharap akan dapat menyediakan maklumat yang lebih terperinci mengenai urusan pengimportan bekalan daging ke negara ini.

Media tempatan pada bulan lalu mendedahkan sindiket kartel daging yang membawa masuk bekalan daripada sumber yang diragui sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here