Makan makanan tidak halal, diragui status punca doa pada Allah ditolak

0
260
Daging Segar – Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Umat Islam diingatkan supaya sentiasa menjaga soal pemakanan dan mencari makanan yang halal kerana ia boleh menyebabkan doa setiap Muslim kepada Allah terputus disebabkan memakan makanan yang haram.

Menurut Pegawai Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kementerian Kesihatan, Mohd Amri Abdullah, disebabkan itu dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat ketiga supaya orang-orang yang beriman mencari makanan yang baik dan halal.

Malah, katanya, Nabi Muhammad SAW dan para rasul yang lain juga diarahkan oleh Allah untuk mencari makanan yang baik-baik.

Mohd Amri

“Sebab itu ada seorang pensyarah di Universiti Harvard pernah berkata untuk perang dengan umat Islam tidak perlu angkat senjata, apa yang perlu hanya menyerang bab ‘food’ (pemakanan). Ini kerana dia membaca hadis nabi berkaitan makanan.

“Kalau kita gagal jaga bab makan, doa ‘wifi’ kita dengan Allah akan terputus. Apatah lagi makanan ini merupakan wifi antara kita dan Allah sebab dalam hadis nabi ada menyebut mengenai doa yang ditolak akibat memakan makanan yang haram,” katanya ketika menjadi panel bagi program Wacana al-Quran bertajuk: Halal, haram, was-was: Tertipukah kita? hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam supaya mencari sumber makanan yang halal dan tidak diragui statusnya.

Mengulas lanjut, Mohd Amri juga menafikan bahawa Jakim bersikap lepas tangan berhubung soal logo Halal Jakim yang disalah guna, katanya, dengan kecanggihan teknologi pada masa sekarang Jakim sentiasa peka dan berhati-hati supaya tiada pemalsuan logo dibuat.

Pada masa sama, katanya, Jakim juga telah melantik graduan-graduan dengan berlatar belakang agama untuk ditempatkan di kilang-kilang yang hendak mendapatkan sijil halal supaya mereka sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan pihaknya.

Sementara itu, menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, mencari makanan yang halal ialah satu kewajipan kepada semua umat Islam dan sehubungan itu semua umat Islam wajib menyatukan kekuatan untuk membina ekosistem ekonomi Islam.

“Maksudnya, kita kena beli daripada peruncit Muslim, pengedar Muslim dan peladang Muslim tapi kalau tak ada peladang Muslim sekurang-kurangnya carilah tempat sembelihan milik Muslim. Kita kena cuba berusaha.

Mohd Fadzil Hashim

“Ini kerana mencari yang halal adalah fardu kepada semua umat Islam, sebab itu kita kena berusaha atas iman dan kena usaha atas amal dan kena buat secara berjemaah, tetapi dalam konteks sekarang kita terlalu lama bekerja secara individu dan berpisah-pisah.

“Dalam jemaah kita bersatu tetapi apabila berniaga kita berniaga asing-asing. Sebenarnya orang kita ada banyak kepakaran, agama Islam telah lengkap sejak 1,400 tahun yang lalu.

“Mana ada agama lain yang lengkap macam Islam, cuma sekarang kita kena satukan kekuatan untuk membina ekosistem ekonomi Islam dengan membeli sesama kita terlebih dahulu,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here