Malakat Mall lancar burger 100 peratus halal

0
186

CYBERJAYA – Malakat Mall hari ini melancarkan produk terbaharunya, Malakat Burger iaitu kepingan burger ayam, daging dan kerbau yang mula dijual di pusat beli belah di sini.

Produk sejuk beku yang dijamin 100 peratus halal itu turut menawarkan seleksi premium kepingan burger daging daripada bahagian Batang Pinang.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pelancaran produk makanan itu merupakan usaha pihaknya menyediakan sumber makanan halal ekoran isu kebanjiran bekalan daging yang diragui statusnya.

“Alhamdulillah saya mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia hari ini untuk merasmikan Malakat Burger yang kini boleh diperoleh di Malakat Mall dan akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.

“Semoga Allah terima usaha ini sebagai jalan untuk kita menjaga dan mencari sumber makanan yang halal seperti yang difardukan kepada kita umat Islam,” katanya pada majlis perasmian Malakat Burger di Malakat Mall hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif F&B Malakat Mall, Abdul Aziz Juhari.

Mohd. Fadzil Hashim

Selain itu Mohd. Fadzil berkata, pelancaran produk yang dibangunkan bersama rakan strategik Malakat Mall itu diharap dapat menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

“Rebutlah peluang untuk mendapatkan produk yang diyakini halal ini kerana sebelum ini orang mungkin tidak yakin kepada daging-daging burger yang berada di pasaran.

“Buat masa ini pengeluaran kami pada skala kecil tapi insyallah akan cuba memenuhi permintaan daripada pelanggan dan usawahan, sama ada yang ingin menjadi pengedar atau daripada penjual burger.

“Kami harap penyokong Malakat Mall akan terus menyokong kami supaya kita dapat kuasai sumber makanan dengan pembekalan oleh orang kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sebahagian daripada produk itu menggunakan sumber daging import, beliau memberi jaminan halal bermula dari pembekalan daging, proses pembikinan kepingan burger dan kebersihan kilang.

Mohd. Fadzil Hashim ditemani isteri, Afizah Mohtar Rasali merasmikan pelancaran Malakat Burger di Malakat Mall, petang ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, produk itu dihasilkan bertepatan dengan citarasa peminat burger di negara ini pada harga setanding dengan produk yang sedia ada di pasaran.

“Produk yang mengandungi enam kepingan patty itu dijual pada harga RM6.80 untuk burger ayam manakala burger daging dijual pada harga RM10,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here