Malakat Mall perkenal pelaburan emas, Malakat Gold

0
1119
Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Raudhah City, Mohd. Fadzil Hashim.

CYBERJAYA – Malakat Mall baru-baru ini meneruskan usaha memperkasakan eko sistem perniagaan Islam dengan memperkenalkan Malakat Gold iaitu skim pelaburan emas fizikal yang boleh dibeli secara digital.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, bentuk pelaburan yang diperkenalkan melalui platform Malakat Pay! itu merupakan usaha terbaharu pihaknya mengukuhkan ekonomi ummah dan lari dari sistem riba.

Beliau berkata, berbanding pelaburan wang, emas mempunyai perlindungan nilai daripada kesan inflasi yang kuat.

“Malakat Gold yang ditambah baik daripada aplikasi Raudhah Prepaid akan menggunakan konsep seperti token di mana pengguna (ahli Malakat Mall) membeli nilai emas yang dimiliki Malakat Mall.

“Dengan nilai emas yang dimiliki, pelaburan bukan sahaja memiliki emas dalam bentuk fizikal (dipegang Malakat Mall) bahkan boleh menggunakan nilai untuk perbelanjaan di semua premis perniagaan miliknya,” katanya dalam sesi Live di Facebooknya hari ini.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata,
selain ketahanan pada kesan inflasi, pelaburan emas melalui Malakat Gold umpama mempunyai emas dalam bentuk fizikal.

“Kami akan beli dahulu emas 1 kilogram misalnya, kemudian kami tawarkan pembelian mengikut gram dan pengguna bebas mengeluarkan nilai itu pada bila-bila masa.

“Untuk jangka masa panjang sudah tentu ini pilihan yang lebih baik daripada menyimpan wang kerana nilainya berkurang setiap tahun,” katanya.

Memiliki nilai emas pula katanya, memberi banyak kelebihan terutama apabila nilainya naik (nilai duit turun).

“Misalnya 1 gram kita beli dengan harga RM300, esok lusa nilai emas naik, pengguna boleh beli barang di ekosistem Malakat dengan nilai yang lebih,” katanya.

Mengulas mengenai keyakinan orang pada skim pelaburan itu, Coach Fadzil berkata, setiap pembelian bukan sahaja direkod secara digital tetapi disimpan secara manual.

“Ada juga orang yang takut ditipu oleh Coach Fadzil kerana beberapa gram emas, padahal saya ada pasar raya di Cyberjaya ini, ke mana saya nak lari?

“Cuma kita harap Allah berkati usaha ini sebab inilah pendirian kita bahawa cara ini boleh jadi penyelesaian terbaik buat masa ini untuk ekonomi Islam,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai mengambil peluang itu untuk memulakan pelaburan untuk diri sendiri mahupun untuk anak-anak dengan nilai pelaburan serendah RM10 sebulan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here