Malakat Mall tanggung kos pembedahan Cef Nan

0
264
Sabrina Adnan hadir mewakili keluarga menerima mock cek sumbangan di Malakat Mall hari ini

CYBERJAYA – Malakat Mall menanggung penuh perbelanjaan pembedahan Adnan Zainal iaitu pemilik kedai Sushinan di pusat beli belah berkenaan.

Pembedahan membabitkan saraf tunjang Adnan yang terlibat dalam kemalangan pada Sabtu lalu itu menelan perbelanjaan sebanyak RM20,500.

Mock cek sumbangan RM20,500 untuk menanggung kos pembedahan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Salam Zulkarnain hari ini.

Hadir menerima mock cek sumbangan dalam majlis penyerahan di Malakat Mall hari ini ialah anak sulung Adnan iaitu, Sabrina Adnan.

Turut diserahkan hari ini ialah derma kilat hasil sumbangan orang ramai melalui platform sedekah market sebanyak RM10,575 selain derma kutipan rakan-rakan di Malakat Mall.

Sabrina Adnan menunjukkan gambar saraf tunjang ayahnya yang membengkak selepas terkena serpihan tulang yang patah

Sabrina ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, ayah beliau ketika ini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan semalam.

Katanya, ayahnya yang lebih dikenali sebagai Cef Nan juga telah dibenarkan keluar daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) pada pagi ini dan ditempatkan di wad biasa.

“Buat masa sekarang, dia dalam keadaan sedar selepas pembedahan semalam cuma tekanan darah agak rendah. Sekarang hanya mak yang dibenarkan untuk menjaganya.

Keadaan Cef Nan ketika sebelum menjalani pembedahan semalam

“Dia memang tidak boleh bergerak lagi, doktor cakap ada masalah di bahagian saraf tunjang kerana dihimpit tulang yang patah. Pembedahan semalam ada buang tulang.

“Pembedahan semalam hanya untuk bolehkan dia tegakkan kepala, kita harap selepas ini proses fisioterapi akan bantu untuk dia pulih dan gerakkan anggota badan,” katanya.

Kejadian Sabtu lalu yang menimpa Cef Nan ketika dalam perjalanan ke Malakat Mall

Dalam kemalangan pada Sabtu lalu itu, Cef Nan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Mengulas mengenai sumbangan yang diterima hari ini, Sabrina berkata, beliau tidak sangka dan bersyukur sangat-sangat kepada Allah diatas sumbangan yang disampaikan.

“Malakat Mall sangat ambil berat, Coach Fadzil  (Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim) juga tidak putus-putus bertanya mengenai keadaan ayah.

Cef Azin bertanya mengenai keadaan semasa Cef Nan di Hospital Putrajaya

“Terima kasih juga Cef Aziz (Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Food, Aziz Juhari). Saya doakan Malakat Mall akan terus berjaya, terima kasih atas sumbangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Salam memaklumkan, Malakat Mall mengambil tangungjawab untuk menanggung kos pembedahan Cef Nan dan jumlah itu berdasarkan bil yang dikeluarkan hospital.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Salam Zulkarnain

Selain itu katanya, derma kilat melalui platform sedekah market itu adalah hasil sumbangan orang ramai yang dilancarkan sejak Sabtu lalu selepas Cef Nan terlibat kemalangan.

“Derma kilat ini lebih kepada sumbangan untuk menampung perbelanjaan keluarga selepas Cef Nan terlibat kemalangan. Sushinan antara yang terawal bersama kami ketika pembukaan Malakat Mall.

“Kejadian ini mungkin akan memberi kesan kepada perniagaannya, jadi derma kilat ini diharap dapat meringankan beban keluarga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here