Maqis rampas 2 tan keju gagal patuhi syarat import

0
163

Maqis

JOHOR BAHRU – Selepas membongkar isu bekalan daging dan ayam sejuk beku yang diragui status halal, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor malam tadi merampas kemasukan 2 tan keju yang tidak mematuhi syarat import.

Pengarah Maqis Negeri Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pihaknya menahan sebuah lori yang membawa keju dari New Zealand di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dalam pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa Maqis pada, 7 malam tadi.

“Maqis Johor mendapati keju seberat 2,080 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM39,712.25 berkenaan tidak mempunyai kijil kesihatan yang sah dari negara asal sebagaimana yang diperlukan dalam syarat permit import Maqis.

“Dagangan itu dipercayai untuk masuk ke pasaran tempatan.

“Bagaimanapun pemandu lori berumur 39 yang membawa keju berkenaan dilepaskan selepas diambil keterangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Afifah berkata, kes disiasat mengikut seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

“Jika disabitkan kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan ke dua atau yang berikutnya didenda maksimum RM150,000 atau dipenjarakan maksimum melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here