Maritim Pulau Pinang rampas 14 set bubu naga

0
95
Set bubu naga yang dirampas Maritim Malaysia Pulau Pinang semalam.

π—šπ—˜π—’π—₯π—šπ—˜π—§π—’π—ͺ𝗑 – Maritim Negeri Pulau Pinang merampas 14 set bubu naga di perairan Sungai Kerian di sini, sekitar jam 3.00 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bubu naga itu dikesan di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat daya Sungai Kerian ketika pihak Maritim Malaysia melaksanakan rondaan Op Benteng di sekitar perairan Pulau Pinang.

β€œKesemua set bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk sisatan lanjut,” tegasnya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Abd. Razak berkata, penggunaan bubu naga bukan saja memusnahkan ekosistem dan sumber hasil laut dalam jangka masa panjang malah menjejaskan pendapatan nelayan, terutama nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

β€œMasih ada yang kurang kesedaran dalam isu penggunaan bubu naga dan komuniti nelayan juga diharap dapat memainkan peranan seperti menegur mereka yang masih menggunakan alatan itu selain tindakan daripada jabatan serta agensi lain.

“Alatan ini boleh beri kesan kepada induk dan anak ikan selain memerangkap serta menjejaskan sumber perikanan,” tegasnya.

Katanya, semua barang rampasan itu akan dilupuskan dan pihaknya turut mengesan penggunaan bubu naga yang aktif dijalankan di negeri itu.

“Kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah itu masih dilakukan biarpun penggunaannya sudah dilarang berkuat kuasa pada 1 November 201,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here