Masih ramai rentas negeri

0
217
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Jumlah yang ditahan akibat kesalahan rentas negeri dan daerah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan meningkat kepada 66 orang semalam berbanding 32 orang dua hari lalu.

Jumlah itu juga menjadikan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang kedua tertinggi dilaporkan selepas tidak memakai pelitup muka yang merekodkan seramai 200 individu, manakala gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah 608 individu yang ditahan kerana ingkar PKP pada Sabtu, seramai 580 dikompaun, 27 direman dan satu dijamin.

“Selain itu, individu ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ismail Sabri turut memaklumkan menerusi Ops Benteng, seramai 17 pendatang asing dan dua tekong berjaya ditahan manakala tujuh kenderaan dirampas pada Sabtu selain 415 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 105,849 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu, 8,541 sedang menjalani kuarantin wajib manakala 540 dihantar ke hospital untuk rawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here