Mayat mangsa dihanyutkan arus banjir bersama kereta ditemukan

0
514
Operasi mencari dan menyelamat Md Rajihan yang dilakukan oleh bomba

KLUANG – Selepas tiga hari hilang dihanyutkan arus ketika banjir di Batu 18, Jalan Kluang-Mersing, akhirnya mayat Md Rajihan Junaidi ditemukan kira-kira 15 meter dari lokasi keretanya ditemui petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, mayat Md Rajihan, 28, kemudian dikenalpasti oleh anggota keluarga yang menunggu di situ.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk proses bedah siasat,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Isteri mangsa, Khairunnisa Ibrahim, 24, yang mengandung tiga bulan, yang turut berada di lokasi kejadian tidak dapat menahan kesedihan hingga terpaksa dipapah untuk mengiringi jenazah ke hospital.

Ketika kejadian pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 5.30 petang, mangsa hilang dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja yang dipandunya.

Md Rajihan yang sedang melalui jalan berkenaan bersama Khairunnisa, membuat keputusan untuk meredah banjir ketika sampai di laluan berkenaan, sebelum kereta mereka dihanyut arus ke sebelah kanan jalan.

Bagaimanapun, Md Rajihan sempat memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan isterinya, yang kemudiannya berjaya diselamatkan orang awam, sebelum dia sendiri hanyut dibawa arus bersama keretanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here