Minum bir di pusat kuarantin, kenakan tindakan tegas

0
229
Tindakan kumpulan berkenaan sangat biadap dan kurang ajar kerana mereka seolah-olah sedang bergembira

CYBERJAYA- Siasatan dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas sekumpulan individu yang meminum minuman keras ketika dikuarantin di di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kakitangan Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, tindakan kumpulan berkenaan sangat biadap dan kurang ajar kerana mereka seolah-olah sedang bergembira.

“Kelakuan tersebut menggambarkan seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sibuk mengerah keringat untuk menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Tindakan tersebut juga seperti menghina dan tidak menghormati pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan yang digunakan sebagai fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular video berdurasi 12 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita berbual sambil meminum bir dengan dua buah baldi biru yang penuh berisi tin minuman keras itu.

Menurut Adnan, tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat selain boleh mencetuskan masalah lain jika keadaan menjadi tidak terkawal.

Justeru tambah beliau, pihak berkuasa polis dan juga Kementerian Kesihatan perlu menyiasat insiden itu dan mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat membeli dan membekalkan minuman keras itu agar perkara sama tidak berulang

“Sekiranya ada penglibatan oleh pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam.

“Pekara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah dan CUEPACS berharap tindakan dan keputusan siasatan ini dapat dilakukan dengan segera serta tidak mengambil masa yang lama,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here